Sabtu, 1 Jun 2013

Mencandat Sotong

Apakah itu mencandat atau Eging?
Maksud sebenar mencandat atau Eging ialah, teknik untuk memperdayakan atau memancing specis sotong dengan menggunakan set ringan dan menggunakan sejenis umpan tiruan khas. Di negara kita umpan tiruan tersebut lebih dikenali sebagai candat.
Eging pula ialah gelaran popular bagi pemancing di negara Jepun, Teknik Eging lebih tertumpu di kawasan berbatu di tepian pantai dan kawasan karang ataupun tukun.

Sebelum kita mengenali teknik candat ataupun teknik Eging, adalah lebih baik jika kita mengenali specis sotong yang boleh diperdayakan oleh teknik mencandat ataupun Eging.

Menurut Wikepidia,Sotong ialah sejenis haiwan laut atau nama scientifiknya Teuthida, terdapat 300 spesies terdapat di dunia ini. Sotong bertulang satu dan mempunyai lapan lengan serta dua tentakel yang biasanya lebih panjang. Di negara kita hanya terdapat beberapa jenis sotong yang boleh di candat@Eging dan sentiasa menjadi buruan peminat pancingan ini



Jenis-jenis sotong yang terdapat diperairan negara kita

Sotong Torak

Sotong Katak

 Sotong Cumi

Sotong Kurita

 Sotong Mengabang

Daripada gambar-gambar di atas, hanya sotong kurita sahaja yang tidak boleh diperdayakan oleh teknik mencandat atau pun Eging.
Di negara Jepun, teknik Eging telah menjadi kegilaan peminatnya, sehinggakan terdapat joran khas untuk mengaplikasikan teknik ini. Di sana para peminat Eging mengunakan rod yang berkekuatan PE 0.6-1.5 dengan panjang rod sepanjang 7-8.5 kaki. Mereka juga menggunakan reel khas dimana spool nya telah direka khas dan dipadankan dengan tali mono yang berkekuatan 4-12lb sahaja. Malangnya set khas untuk pancingan Eging ini tiada didalam pasaran negara kita. Oleh itu, penggunaan set ringan menjadi pilihan para peminat mencandat@ Eging di negara kita. Memadai jika menggunakan rod yang berkekuatan 12-20lb ataupun sehingga PE 2 dipadankan dengan mesin mendatar ataupun reel sehingga 1000-3000 series. Tali mono atau braided berkekuatan 8-20lb sering digunakan.

 KAEDAH DAN CARA-CARA MENCANDAT SOTONG DI PERAIRAN MALAYSIA
Mencandat sotong (Squid Jigging) adalah satu kaedah tradisi yang tidak mengunakan cara moden. Mencandat sotong juga ada keseronakan yang tersendiri. Di negeri terengganu ada berbagai-bagai kaedah yang biasa dilakukan oleh nelayan tempatan untuk menangkap sotong. Salah satunya dan yang paling menarik ialah mencandat, iaitu dengan mengunakan peralatan khas yang dinamakan candat. Didalam pasaran sekarang ada berbagai-bagai jenis candat dan jenama yang dibuat mengingkut keadaan semasa. Ada berberapa nama candat yang biasa digunakan diantaranya ialah Candat Twist, Candat Udang, Candat Umpan, Candat Buntai dan beberapa jenis lagi. Alat candat adalah kail yang mempunyai sehingga sepuluh mata atau lebih yang dilekatkan pada timah dan dibaluti dengan kain yang berwarna warni, tetapi kini mata kail dihiasi umpan tiruan anak ikan atau udang plastik yang berkilat, berbanding alat candat tradisional yang dikenali sebagai candat twist. Kesesuaian candat dengan sotong yang hendak ditangkap juga perlu diambil kira. Disini kita tekankan dengan penangkapan /mencandat sotong torok, cumit-cumit, ketupat dan sotong jarum sahaja kerana cara mencandat sotong mengabang, sotong katak dan kurita ada sedikit perbezaannya.

JENIS CANDAT DAN CARA PENGUNAANNYA.

1.Candat Twist- candat twist biasanya dibuat daripada timah sebagai pemberat, ia juga dilekatkan matakail yang bersisir dibawahnya. Biasanya ia dilengkap dengan lapan atau lebih matakail yang berfungsi sebagai penyangkut sotong. Badannya dibaluti dengan kain yang biasanya berwarna putih/merah, putih/hijau dan putih/biru. Cara menggunakannya ialah memasukan terus dari tangkal candat ke cili yang diikat dari mainline. Tidak perlu mengunakan perambut. Apabila candat diturunkan, lakukan aksi menarik dan menghulur ke dalam air yang disuluh lampu kalimantang. Sotong akan tertarik dengan pergerakan candat yang disangka makanan dan menyambarnya. Ketika itu, terus menyentap tali dan sotong akan terlekat pada mata kail berkenaan. Candat twist sesuai untuk sotong torok, ketupat dan sotong jarum. Candat twist juga sesuai digunakan untuk sotong mengabang dan sotong katak apabila berada di kawasan unjam atau tukun sahaja.

2. Candat umpan – berbentuk panjang yang dibuat daripada besi sebesar lidi dan bersisir dengan matakail dibawahnya. Ia juga dilengkapi dengan lapan atau lebih matakail yang biasa dibuat sendiri. Ada juga candat ini yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan yang mempunyai dua sisir matakail tanpa mempunyai teracat. Cara mengunakannya ialah mencucuk ikan sebagai umpan. Ikan akan dicucuk dari ekor sehingga ke dalam mulut ikan itu dan disangkut mengunakan cili dari atas kepala memasuki lubang candat dan seterusnya disangkut sekali lagi memasuki bawah kepala ikan sebelum menuntup cili itu. Ada satu lagi kaedah dengan menggunakan dawai yang diikat daripada perambut dan dicucuk sama dengan kaedah menggunakan cili dan dibelit dawai tersebut sebagai pengikatnya. Seterusnya candat tadi boleh digunakan dengan batu hidup atau ranggung (samaada yang dibuat daripada tanduk atau tangsi yang bersaiz besar) yang memerlukan perambut antara tiga hingga lima meter panjang. Masa mengunakan candat umpan, kita digalakkan untuk melabuhkan dua atau tiga candat ini dengan kedalaman air, bermakna satu didasar, kedua ditengah-tengah air dan satu lagi berada di permuakaan air. Untuk permukaan air, pemberat tidak perlu digunakan dan seelok-eloknya menggunakan pelampung. Ikan tambang, selayang, dan ikan kacang sangat sesuai untuk dijadikan sebagai umpan. Saiz ikan hendaklah tidak melebihi panjang candat tersebut.

3.Candat Udang- Rasanya baru diperkenalkan atau diguna secara umun, berkemungkinan dalam tujuh tahun lepas(belum pasti). Candat ini sangat sesuai digunakan untuk mencandat sotong mengabang. Dengan bentuk yang solid dan dapat mengimbangi badan di dalam air memberi kelebihan candat ini menarik perhatian sotong. Cara mengguna hampir sama dengan candat umpan yang memerlukan ranggung untuk dihulurkan pada dasar. Kebiasaannya dua atau tiga kaki dari dasar laut.

Di negara kita terdapat beberapa jenis candat untuk mengaplikasikan teknik ini. Candat-candat tersebut ialah:

 Candat Mayat/Apollo/Jig/Ultraman/Roket

Candat Udang

Candat Umpan

Untuk penyediaan candat Mayat, candat di ikat seakan-akan appollo seperti gambarajah  yang tertera dibawah. Batu ladung bersaiz 6-10 di letakkan di bawah untuk dijadikan pemberat mengikut keadaan arus
Ilustrasi cara-cara ikatan candat mayat

Untuk penyediaan candat umpan pula, Umpan ikan seperti ikan kembung/sardin/selar mati digunakan dengan mencucuk candat tersebut didalam ikan tersebut seperti di gambarajah dibawah.

Ilustrasi cara-cara menggunakan candat Umpan

Penggunaan candat udang pula lebih mudah, dengan menyambungkan candat tersebut dengan swivel ataupun terus membuat ikatan seperti pengunaan gewang-gewang lain.

Aplikasi teknik Mencandat

Untuk memperdayakan sotong Torak, Sotong Katak dan Cumit, teknik appollo menggunakan candat mayat dan candat umpan. Aplikasi teknik ini lebih sesuai digunakan ketika berada di atas bot. Umpan candat di henjut beberapa kali keatas dan kebawah untuk memperdayakan sotong seperti gambarajah (A) di bawah.

Untuk menggunakan candat udang pula, umpan candat udang di tarik secara perlahan-lahan secara casting seperti gambarajah (B).

Aplikasi ini boleh digunakan untuk memperdayakan sotong mengabang,cumit dan sotong katak.
Teknik ini sesuai digunakan di tepian kawasan berbatu dan juga di atas bot.
Teknik Eging pula lebih menyasarkan specis sotong Mengabang. 


 (A) Ilustrasi cara-cara mengayakan candat mayat ketika diatas bot

(B) Ilustrasi cara-cara memperdayakan sotong menggunakan candat udang di tepian batu

Kawasan berbatu yang sesuai untuk teknik Eging 

Peranan lampu
Untuk memancing sotong pada waktu malam, peranan lampu pada bot amatlah penting kerana pancaran lampu yang terang dari atas bot dapat menarik kehadiran sotong untuk mendekati bot. Apabila sotong mula menghampiri bot, teknik mencandat menjadi lebih mudah dan senang. Apabila musim mencandat tiba, di sekitar perairan Kemaman, Paka, Dungun, Merchang, Marang, Kuala Terengganu, Batu Rakit dan Penarik bagaikan berpesta dengan kerlipan lampu kalimantang yang dipasang saban malam. Kehadiran lampu kalimantang yang berkerlipan itu bertujuan menarik perhatian sotong yang sedang mengawan di kawasan berkenaan untuk berkumpul dan bermain di sekitar kawasan yang diterangi cahaya lampu berkenaan. Kebiasaanya waktu mencandat sotong bermula senja dan berhenti apabila fajar menyingsing.

Musim Mencandat

Setiap akhir Mac hingga Julai, ialah musim yang paling sesuai untuk menangkap/mencandat sotong kerana angin kencang musim tengkujuh timur laut di Laut China Selatan mulai reda, maka musim sotong mengawan dan bertelur akan bermula. Ini bermakna sotong-sotong yang jauh dari laut dalam mula berkunjung ke tempat-tempat tertentu untuk bertelur di sekitar perairan Terengganu terutama berhampiran Pulau Kapas, Pulau Bidong, Pulau Redang dan beberapa tempat lain. 

Rezeki akan bertambah kiranya seseorang yang menjumpai kawasan sotong bertelur, iaitu tempat berjuta-juta sotong berkumpul dan bertelur pada satu tempat. Tempat ini juga dikenali sebagai “Kandang Sotong”. Kandang sotong yang dihuni oleh berjuta-juta sotong ini tidak terdapat seekor ikan pun kerana tahap permakanan sotong ini terlalu egresif sehinggakan mereka memakan diantaranya (sama sendiri). Jika terdapat ikan pun ialah ikan tenggiri, tasik atau jerung yang berada diluar kawasan sekitarnya untuk memakan sotong itu. Di tempat begini candat twist yang paling efektif sekali, dengan kaedah appolo, candat diikat dua atau tiga pada mainline. Kebiasaanya candat yang diturunkan belum sampai ke dasar sudah ada sotong melekat pada candat.

Mencandat sotong biasanya jarang dilakukan apabila bulan mengambang penuh kerana ketika itu sotong bergerak bebas, ada juga yang mencandat pada waktu begini kerana ianya tidak memberi target yang tertentu seperti di tempat kandang sotong atau di sekitarnya. Adakalanya juga mendapat hasil yang lumayan. Bagaimanapun, sotong yang ditangkap pada bulan mengambang lebih besar saiznya berbanding yang ditangkap pada bulan gelap. Sebaliknya, saiz badan yang gemuk itu akan berubah menjadi panjang selepas bulan penuh. Dimasa bulan gelap lebih sesuai kerana lampu yang di pasang akan menarik perhatian sotong untuk mendekati cahaya.
Seorang pencandat yang mahir akan memasang tiga atau empat candat pada satu tali. Setiap seorang pencandat mampu memperolehi antara 200 hingga 300 kilo sotong semalaman jika mereka mencandat di kandang sotong.

Dinegara kita, sotong boleh dicandat sepanjang tahun. Cuma bilangan sotong tidak terlalu banyak jika tidak kena dengan musimnya.Di negara kita, bulan 3-7 setiap tahun amat ditunggu-tungu oleh peminat sotong untuk mencandat. Ini kerana dikatakan kehadiran  dan penghijrahan Sotong jenis Torak yang begitu banyak untuk mengawan di perairan Terengganu sehinggalah di Mersing Johor. Sotong Torak yang hadir ketika ini menpunyai saiz yang lebih besar jika dibandingkan sotong-sotong jenis lain dan amat lazat untuk dijadikan hidangan makanan. Ketika inilah teknik mencandat menggunakan candat mayat dan candat umpan amat sesuai dan lebih efektif digunakan. Menurut pengalaman saya, penggunaan candat jenis udang amat kurang menarik minat dan sotong amat sukar diperdayakan.

Berbeza pula dengan sotong-sotong yang terdapat di perairan Selat Melaka, Candat jenis udang lebih efektif berbanding candat jenis lain.Ini membuktikan sotong mempunyai selera yang berbeza-beza disetiap tempat yang berlainan.Waktu yang paling sesuai untuk mencandat sotong ialah ketika air berarus perlahan dan air mati. Disini saya sertakan beberapa gambar saya ketika mencandat sotong.

SOALAN LAZIM

1. Adakah arus memainkan peranan penting dalam menangkap/mencandat sotong?
Ya. Arus juga memainkan peranan yang penting semasa mencandat sotong. Disebelah Terengganu masa perubahan arus daripada barat ke timur adalah masa yang terbaik sekali. Arus mula ke timur. Pendapat ini sama dengan pendapat beberapa nelayan2 yang terer dan tersohor dalam aktiviti mencandat sotong. Permulaan perubahan arus yang lembut ini mungkin mengaktifkan kehidupan sotong itu. (bukan di kandang sotong)

2. Adakah sotong akan bertelur di tempat yang sama?
Tiada fakta yang lengkap berkenaan yang ini. tapi pernah diketemui ditahun yang berlainan sotong masih bertelur di tempat yang sama. tapi kebanyakkan tempat bertelur (kandang sotong ditemui di tempat yang berlainan).

3. Bagaimana kalau kita mencandat disiang hari.. adakah boleh dilakukan?
Mencandat sotong di siang hari boleh dilakukan, tapi hasilnya kurang memuaskan. Mencandat disiang hari lebih sesuai menggunakan candat umpan.(bukan di kandang sotong)
Jika dikandang sotong semua jenis candat boleh digunakan. hasil juga amat membanggakan.Pada Isnin 23/5/2005 satu kandang sotong telah ditemui di depan muara sungai terengganu. Laut berhampiran kampung Tanjung, ramai nelayan mencandat di siang hari.. rata2 mendapat 100 kilo seorang. Tapi peluang untuk nelayan kecil tidak lama kerana disapu oleh bot pukat tunda. Kalau pemancing macam kita nak dapat peluang yang sekejap ini lagi laa susah. Baru projek di rancang kandang sotong sudah hancur..

4. Apakah peralatan yang paling sesuai untuk mencadat sotong.
Selain daripada candat, kita sebagai pemancing yang lebih ingin merasa keseronakan elok menggunakan set mancing yang joran lembut sikit kerana tarikan sotong dapat dilihat semasa ia memakan umpan(untuk cadat umpan). Untuk candat twist rasanya lebih baik mengunakan koyan saja dengan kekuatan tali 40lb.

5. Bagaimana untuk mengenali tempat atau kandang sotong?
Kandang sotong bermakna satu tempat dimana sekumpulan besar sotong bertelur, tempat ini boleh dikenali dengan adanya berjuta2 sotong dikawasan itu. kita boleh melihat di bawah air dengan warna yang sebam dan taburan sotong yang amat ramai. Anggaran taburan sotong di kandang berkeluasan 500-600 meter. kita boleh labuhkan bot dan biasanya di candat twist ada mengena atau terlekat telur2 sotong.Biasanya kandang dijumpai secara kebetulan saja. Pengalaman kawe satu kali dengan arwah ayah mula2 jumpa kandang sotong di waktu petang. setiap candat dihulurkan terus mengena sotong, kami melabuhkan bot dan memasang lampu lepas magrib.. maka nampak laa berjuta sotong berada ditengah2 air dan sedikit di permukaan. apa lagi.. rezeki kami. malam tu sampai ke pagi kami dapat 270 kilo sotong. (seingat kawe).Satu candat dapat menggena 2 atau 3 ekor sotong sekaligus. Itu pun kami rasa bot yang dilabuhkan itu tidak tepat diatas telor sebenar.

3 ulasan:

  1. Boleh berikan sedikit panduan waktu yg sesuai utk mencandat. adakah bulan penuh, bulan separuh mempengaruhi hasil tangkapan?

    BalasPadam
  2. Boleh berikan sedikit panduan waktu yg sesuai utk mencandat. adakah bulan penuh, bulan separuh mempengaruhi hasil tangkapan?

    BalasPadam
  3. Mencandat sotong biasanya jarang dilakukan apabila bulan mengambang penuh kerana ketika itu sotong bergerak bebas, ada juga yang mencandat pada waktu begini kerana ianya tidak memberi target yang tertentu seperti di tempat kandang sotong atau di sekitarnya. Adakalanya juga mendapat hasil yang lumayan. Bagaimanapun, sotong yang ditangkap pada bulan mengambang lebih besar saiznya berbanding yang ditangkap pada bulan gelap. Sebaliknya, saiz badan yang gemuk itu akan berubah menjadi panjang selepas bulan penuh. Dimasa bulan gelap lebih sesuai kerana lampu yang di pasang akan menarik perhatian sotong untuk mendekati cahaya.

    BalasPadam