Ahad, 12 Ogos 2012

Gewang Permukaan dan Cara Permainannya


Bermacam-macam jenis gewang bolehanda saksikan di kedai-kedai pancing. Antara yang paling menarik, agak lucu bentuknya malah tampak kurang praktikal sudah semestinya gewang permukaan(surface lure / top-water lure) . Kategori ini terdiri dari pelbagai jenis dengan nama popper, pencil bait , popper pensil , swisher, noisy, darter, buzz-bait, flog dan lain-lain lagi. Mungkin ada antara jenis gewang sebegini sentiasa tersedia untuk dipakai dalam kotak pancing anda,bagaimanapun berapa ramaikah di antara anda yang mampu menjadikannya sebagai satu senjata praktikal? Tentu ada yang menganggap gewang permukaan lebih efektif buat toman kerana biasa mendapatnya dengan gewang ini. Namun apa yang ingin saya sampaikan ialah cara permainannya yang sedikit berbeza dari yang biasa anda lakukan untuk mengilat toman. Hari ini, spesies yang sukar dijerat dengan gewang yang membingitkan menjadi sasaran utama. Kita perlu ingat, gewang-gewang sedemikian bukan sahaja efektif buat toman, malah untuk haruan, sebarau, spesies cichlid dan juga keluarga keli (catfish) . Dalam kolum ini, saya ingin menerangkan bagaimana penggunaan gewang-gewang ini menjadi efektif.

Kenapa Gewang Permukaan
Menarik Perhatian Kita?

Untuk persoalan ini, jawapannya mungkin kerana bentuk, warna dan aksinya yang pelbagai. Jawapan lain membabitkan aspek praktikal seperti kesannya yang menakjubkan buat ikan pemangsa aktif dan sambaran mengejut yang boleh kita saksikan. Jika anda pernah dikejutkan dengan ledakan sebegini, saya pasti ia masih terngiangngiang di benak anda. Aksinya juga satu daya penarik
penting. Jika penggayaan anda tidak lancar, ikan akan ‘bo layan’ gewang permukaan anda. Aspek ini agak berbeza dari mengilat dengan gewang selaman atau gemerincing, kerana karauan biasa secara
melurus tidak mampu mencungkil kuasa gewang permukaan yang sebenar (* Walaupun kadangkala karauan lurus ini sangat efektif buat gewang jenis ‘ f l o g ’ yang bising. Aspek ini akan dibincangkan
kemudian). Jika renangan gewang selaman sukar kita bayangkan, tetapi ini sebaliknya pada
gewang permukaan. Renangannya di permukaan boleh disaksikan sepanjang masa, lantas memudahkan kita memantau dan perbaiki aksinya. Faktor ini turut meningkatkan konsentrasi kita.
Apabila anda telah pelajari bagaimana hendak memainkan gewang permukaan dan berjaya meny-aksikan sambaran serta mendaratkan ikan, saya yakin anda akan ketagih. Persepsi anda terhadap gewang permukaan turut akan berubah dari, “Ikan membaham gewangku ,” kepada “Aku berjaya menjerat ikan untuk membaham gewangku!”. Jika anda terus membaca artikel ini, mungkin anda akan rasa betapa kompleks dan sukarnya pancingan sebegini berbanding kaedah mengilat yang lain. Tetapi sebenarnya ia lebih mudah andainya anda tahu beberapa kekunci penting. Jika anda berminat untuk mengilat dengan gewang permukaan, anda perlu memahirkan diri dengan pengetahuan dan teknik berikut supaya anda mampu mencapai tahap sifu.

Logik 1 : Kenapa Gewang
Permukaan Begitu Berkesan?

Persoalan ini bergantung kepada habitat spesies pemangsa. Umumnya ikan-ikan pemangsa sentiasa memerhati permukaan air. Sekarang mari kita bincangkan apakah maksud permukaan air? Permukaan air adalah perantaraan dunia air dan dunia di luarnya. Justeru,banyak bahan organik dan bukan organik dari luar masuk ke dalam air menerusi permukaan air terlebih dahulu. Aliran ini
adalah searah, kecuali penyejatan dari permukaan air. Kebanyakan ikan sering tertarik dengan apa sahaja benda yang datang dari luar, mereka sangat sensitif tentang aliran tersebut. Ini kerana bukan sahaja galian atau oksigen yang meresap masuk, malah daun-daun segar, serangga dan haiwan kecil. Kebanyakan pemangsa tertarik dengan haiwan kecil dan serangga, ataupun terhadap ikan kecil yang tertarik dengan serangga. Misalnya :
1. Serangga jatuh ke permukaan
2. Haiwan kecil jatuh atau bergerak di permukaan (eg. katak, ular, cicak dan sebagainya)
3. Larva serangga akuatik yang baru menetas
4. Ikan kecil ketika waktu makan
Senario 1 dan 2 memang tidak selamat buat mereka. Penetasan larva (3) pula kurang terkawal dan sering berlaku pada masa yang sama, jadi mereka mudah menjadi sasaran ikan pemangsa.
Bagi senario 4 iaitu ikan kecil bergerak mencari makan di permukaan pula agak berbeza kesnya. Kenapa ikan pemangsa suka membidiknya, sedangkan ikan kecil itu secara fizikalnya sangat aktif? Jawapan pertama berkait rapat dengan deria ikan tersebut. Deria ikan yang sensitif kepada musuh lazimnya terkumpul di sebelah dorsal (atas) dan sisi badannya iaitu garis deria. Sebab itulah pemangsa yang berada di bawah lebih mudah mengesan ikan kecil yang berenang di permukaan
(pemangsa di bawah perut mangsanya). Kalau tak percaya, cuba anda cekup ikan dari atas, anda pasti gagal. Tetapi jika anda merendam tangan dan selepas suhu tangan disejukkan, cubalah cekup
dari bawah, bukankah lebih mudah?
Jawapan kedua : cara pemburuan. Jika ikan pemangsa hanya mengejar ikan kecil secara rawak di dalam air, kerapkali mereka tidak berjaya menyambarnya. Tetapi jika ia meligannya sehingga ke jalan mati, kebarangkalian berjaya akan meningkat. Permukaan air ibarat jalan mati kepada ikan-ikan kecil jika mereka diserang dari bawah, di mana laluan mereka seterusnya tersekat. Pemangsa sangat arif tentang hal ini. Sebab itulah adakalanya mereka akan mengepung ikan kecil di permukaan dan menghalang laluannya untuk melepaskan diri, sebelum mula membelasah (perlu disedari bahawa dasar, tebing dan jurang dalam air turut dikategori sebagai penghalang).
Jawapan ketiga ialah kecuaian ikan kecil itu sendiri. Ikan kecil yang sedang gila melantak larva, plankton dan makanan lain seringkali leka memfokus permukaan air sahaja, ini memudahkan pemangsa menyambarnya dari bawah.


Zon Membunuh

Bagaimanapun, kita perlu faham bahawa permukaan adalah sempadan antara air dan dunia luar, justeru ia juga boleh menjadi padang sasar kepada hidupan yang tinggal di dunia luar. Terutama burung, mamalia dan ramai pemancing yang selalu memerhatikan permukaan air. Oleh itu, ikan sama ada kecil atau besar tahu betapa bahayanya permukaan air ini! Sebab itulah ikan gentar untuk muncul di permukaan. Ini juga sebab mengapa kita boleh lihat kumpulan ikan ‘menggelegak’ pada awal pagi sebelum matahari terbit, senja atau pada waktu malam. Oleh kerana ikan kecil jarang naik ke permukaan pada siang hari, maka tempoh ini bukanlah masa aktif pemangsa mencari makan di permukaan (pemburuan akan dilakukan di paras yang dalam). Jadi, andainya anda ingin mengilat
dengan gewang permukaan, anda perlu sasarkan pada tempoh galak tersebut dan jangan buat bising. Tetapi jika anda tetap mahu cuba memancingnya pada siang hari, anda perlu perhati struktur tertentu di mana pemangsa boleh bersembunyi.

Potensi Air Cetek

Tetapi bagaimana kalau paras air terlalu cetek? Kawasan cetek juga gelanggang perburuan pemangsa dan tempat ikan kecil bermain. Ikan pemangsa biasanya mengawasi dan meninjau perairan cetek ini dari kawasan dalam. Jika ada peluang, mereka akan menerpa walaupun paras air hanya sekitar 10 cm. Jika anda berdiam di tebing pada awal pagi, anda boleh saksikan adegan pemangsa mengejar ikan kecil di kawasan cetek sehingga bahagian belakang dan siripnya tersembul keluar. Saya rasa paras 10 hingga 15 cm memadai bagi pemangsa menyerang hendap ikan kecil. Namun, apakah jenis gewang yang berkesan di perairan secetek ini? Gewang selaman mahupun yang
berenang perlahan pasti tersangkut di dasar atau struktur lain. Disebabkan masalah tersebut, ramai
pemancing tak mengendahkan perairan cetek dan tidak membuat sebarang lontaran. Tetapi seandainya anda telah mahir dengan gewang permukaan, banyak pilihan boleh dibuat untuk menggempurnya. Jika tiada sambaran, barulah cuba di kawasan dalam. Mengilat di permukaan membuatkan stail pancingan anda lebih meluas berbanding sebelumnya.


Logik 2 : Kenapa Pemangsa
Membaham Gewang Permukaan?

Cara berfikir untuk pancingan permukaan juga boleh diaplikasi terhadap cara mengilat yang lain. Sekarang kita fikirkan persoalan, “Kenapa ikan pemangsa membaham gewang?”, demi untuk
memahami habitatnya yang menjadi asas pengetahuan dalam kaedah mengilat.
Jawapan pertama cukup senang, “sebabikan laparlah"Dengan itu mudahlah kerja kita kalau gewang dapat menipunya. Jika gewang anda menyerupai mangsanya, pemangsa tidak ragu-ragu menyerang, terutama ketika ia galakmelantak di permukaan. Inilah syarat yang sering dinasihatkan iaitu “padankan dengan makanannya ” seperti mana “match the hatch ” bagi pemancing layang. Jadi jikalau anda terserempak sekumpulan ikan ‘mendidih’ dipermukaan, tekalah dahulu jenis mangsanya
sebelum melontar. Mana yang paling mirip mangsanya pasti akan digonggongnya. Mengenal pasti ikan mangsaan dan menyelami tabiatnya merupakan satu prosedur normal. Jika anda terjumpa sebarang ikan kecil di permukaan yang mungkin bagus buat pemangsa, cubalah menirunya. Tetapi jika ikan lebih cenderung melahap larva yang baru menetas, kadangkala hasil anda kosong dengan
gewang permukaan, walaupun banyak ikan menyambar di permukaan. Mereka sukar dijerat kerana terlalu memilih makanan, iaitu anak-anak serangga akuatik. Mungkin gewang selaman lebih berkesan ketika ini.
Jawapan kedua : disebabkan marah atau geram. Saya cuma meneka tanggapan ini berdasarkan beberapa kesan sambaran terhadap gewang permukaan. Mengikut pengalaman saya, ikan pemangsa kadangkala didapati ‘menanduk’ atau melanggar gewang dengan kepala atau badannya sahaja. Kadang-kadang dilibas dengan ekor. Terutama bila saya cuba memancing ikan large-mouth bass d i
negara kelahiran saya, Jepun. Saya alami banyak serangan sebegini bila menggayakan gewang permukaan. Satu lagi sebab saya berkata begitu adalah berdasarkan bunyi sambaran. Walaupun mengilat di permukaan untuk sebarau tasik, haruan kolam mahupun large-mouth bass, anda boleh mendengar bunyi sambarannya yang lain macam, berbanding sambaran semulajadi ke atas ikan hidup. Ikan yang menggasak gewang permukaan adalah lebih agresif dan intensif, sekiranya anda dapat melihat buih kecil timbul. Saya rasa gigitan itu bukan disebabkan keinginan untuk makan, tetapi dari satu reaksi sakit hati atau berang terhadap gewang itu sendiri atau aksinya mengacau
pemangsa. Sebab kenapa pemangsa rasa marah hanyalah satu andaian. Tetapi alasan
seterusnya mungkin lebih logik iaitu gewang menceroboh wilayahnya, gewang membuat bising, lontaran pemancing yang kerap dan berulangkali berdekatannya, dan atau kerana ikan ingin mengawal sesuatu.
Jawapan ketiga ialah kecurigaan. Ikan terutama pemangsa mudah curiga. Jika sesuatu yang pelik, tidak nampak realistik, luar biasa atau tak pernah dilihat, ikan akan datang merapatinya, memerhati dan mengawasi sehingga ia bosan melakukannya.


Koordinasi Gewang & Permukaan

Pada umumnya, ada empat faktor penggoda ikan dari segi kecurigaan iaitu aksi, bunyi, bentuk dan warna gewang (bau juga penting tetapi jarang digunakan dalam mengilat). Saya rasa anda sudah faham, jadi tak perlulah saya terangkan lebih lanjut tentang setiap faktor penarik tersebut.
Cuma ada satu lagi faktor yang tak kurang pentingnya berkenaan pancingan gewang permukaan. Ia bukanlah disebabkan tarikan gewang itu sendiri, tetapi ‘kerjasama’ antara gewang dan air. Kekuncinya ialah permukaan air! Permukaan air boleh menjadi satu skrin antara ikan dan gewang permukaan. Apabila pemancing memberi aksi tertentu ke atas gewang permukaan, percikan, buih
dan gelombang akan mengelilingi dan melitupi gewang. Pergerakan air di sekeliling gewang akibat aksinya menyebabkan gewang seringkali tidak berapa jelas bagi ikan di bawahnya. Oleh kerana skrin ini mengaburkan gewang, pemangsa tidak dapat melihatnya dengan jelas. “Situasi sukar lihat ” ini lantas mencetuskan kecurigaan pemangsa. Kemudian sebelum gewang terlepas, mereka akan cuba bermain dengannya. Lantas sang ikan yang tak dapat mengenal pasti apakah objek itu, akan cuba menggunakan mulutnya (bukan tangan!) untuk mengetahuinya. Saya rasa teori ‘ketidakjelasan pada pandangan ikan’ ini merupakan salah satu aspek paling penting, bukan sahaja kepada gewang permukaan, bahkan juga untuk kaedah mengilat secara umumnya.

6 ulasan: